Hari ini saya ke karnival kerjaya di Mid Valley. Karnival ini diadakan dari hari Jumaat hingga hari Ahad. Sebenarnya semalam saya sudah pergi ke karnival tersebut tapi saya datang lagi hari ini sebab ada masalah yang timbul.
Semalam saya pergi ke karnival sebab saya melihat iklannya di suratkhabar tempatan. Masa saya melihat iklan itu adalah pada hari Jumaat jadi saya terlambat satu hari untuk ke karnival. Oleh itu saya bertekad untuk pergi juga ke karnival semalam.
Semalam juga saya bersiap seperti ingin pergi temuduga. Berbaju kurung dan berkasut tinggi. Adik saya menanya adakah saya larat berjalan dengan berkasut tinggi itu. Saya cuma mengangkat bahu. Saya tahu perjalanan saya jauh dan memenatkan bukan sahaja di karnival itu nanti malah dalam perjalanan ke sana juga akan memenatkan saya.
Sepanjang perjalanan ke karnival semalam saya rasa diri saya menjadi perhatian orang ramai. Saya rasa mereka memandang saya kerana saya memakai baju kurung keluar pada hari Sabtu. Bukankah kalau ingin bersiar-siar lebih selesa kalau berbaju T dan berseluar? Saya membuat muka tidak tahu. Tidakkah mereka tahu karnival kerjaya diadakan pada hujung minggu ini? Jadi saya rasa tidak hairan jika melihat saya atau orang lain yang memakai baju kurung dan kemeja?
Ah! Pedulikan saja pandangan mereka.
Sampai saja di Mid Valley saya melihat ramai orang yang berpusu-pusu ke destinasi masing-masing. Ada yang ingin membeli belah,ada yang ingin berjalan-jalan dengan orang yang tersayang,ada yang ingin menonton wayang dan ada juga yang mempunyai niat yang sama seperti saya, ingin pergi ke karnival kerjaya.
Disana saya mula melihat ada yang memakai baju kurung dan berkemeja bagi lelaki. Ada juga yang membawa dokumen-dokumen penting seperti saya. Jadi saya tidak perlu rasa segan lagi untuk berjalan di gedung itu.
Karnival kerjaya itu terletak di ruang pameran yang berada pada aras paling atas. Ramai yang ke karnival tersebut. Ada yang muda dan ada yang tua. Masing-masing ingin mencari peluang pekerjaan. Bukan sahaja peluang pekerjaan yang diberi malah peluang kepada yang ingin menyambung pelajaran juga ada.
Selepas mendaftar saya diberi pelekat pelawat. Saya memulakan langkah dari pintu depan ke bahagian pertama. Bahagian pertama terdiri dari gerai institusi-institusi dan universiti tempatan dan dari luar negara. Di bahagian ini, sesiapa yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi atau sebagainya mereka boleh berkunjung di mana-mana saja gerai yang terletak di situ.
Seterusnya saya ke bahagian kedua. Di bahagian inilah terletaknya gerai atau booth syarikat-syarikat yang menawarkan pekerjaan kepada pelawat. Saya memulakan langkah dan mencari syarikat dan jawatan yang bersesuaian dengan kelayakan saya.
Apa yang menjadi masalah saya pada hari semalam adalah saya tidak menyediakan atau lebih tepat lagi tidak mencetak resume saya untuk diberikan kepada syarikat-syarikat disana sebagai rujukan. Jadi semalam boleh dikatakan saya hanya melihat-lihat kawasan sekitar dan mengisi borang yang tidak memerlukan resume.
Selepas satu jam saya berlegar-legar tanpa tujuan di karnival itu, saya mengambil keputusan untuk keluar dari ruang pameran. Niat untuk menonton wayang terpaksa dibatalkan apabila melihat begitu ramai orang yang beratur membeli tiket.
Selepas rancangan untuk menonton wayang gagal, saya pergi ke Jusco untuk mencari buku nota yang comel tetapi tiada yang berkenan di hati. Saya pergi pula ke kedai buku MPH. Akhirnya saya menjumpai juga buku nota comel yang saya suka. Hendak lihat?
"My Planner" yang pertama sedang digunakan
Yang ini "My Planner" kedua belum digunakan
Yang ini pula buku nota kreatif yang dalamnya bergaris kotak kecil
Mengapa saya membeli buku nota ini? Sebabnya saya dari dahulu lagi ingin memiliki buku-buku comel yang boleh dibawa kemana sahaja. Saya sengaja memilih buku nota yang bertulis "My Planner" kerana saya ingin menulis aktiviti atau jadual yang akan saya lakukan. Contohnya seperti kursus yang dianjurkan oleh syarikat penerbitan yang saya sebutkan hari itu. Kursus yang penting itu dicatitkan di dalam buku "My Planner" mengikut hari dan waktu yang ditetapkan. Saya membeli dua buah buku yang sama sebab saya berpendapat tidak akan ada keluaran itu pada masa akan datang.
Sebuah lagi buku nota yang berwarna biru dan hijau pula saya beli kerana garisan kotak kecil didalamnya. Saya meminati bahasa Jepun dan Korea. Jadi saya membelinya kerana lebih senang untuk saya menulis huruf-huruf Jepun dan Korea didalam kotak kecil. Lagipun saya meminati warna buku nota tersebut. Menarik untuk dipandang,kan. Hehehe.
Walaupun semalam saya tidak mencapai matlamat saya untuk mencari kerja tetapi saya bertekad untuk pergi sekali lagi pada hari ini. Pada kali ini, saya sudah mencetak 15set resume untuk diberikan kepada syarikat-syarikat terpilih oleh saya.
Namun untuk ke karnival pada hari ini saya memakai baju santai dan selesa kerana saya bercadang untuk menghantar sahaja resume kepada syarikat-syarikat disana. Setelah selesai serta tiada lagi resume yang ingin diberikan saya ingin menonton wayang.
Tetapi saya mempunyai niat yang kurang baik apabila saya jejak kaki disana. Saya ingin mendapatkan hadiah percuma atau free gift dari gerai-gerai disana. Saya perlu mengisi borang atau berikan resume saya kepada mereka untuk mendapatkan hadiah percuma. Bukan semua gerai yang memberikan hadiah percuma jadi saya perlu intai atau survey dahulu sebelum saya meletakkan resume saya. Nampak sangat diri saya ini tidak berniat mencari kerja tetapi mencari hadiah percuma.
Namun saya kurang bernasib baik kerana saya hanya mendapat sedikit sahaja hadiah percuma dari gerai-gerai yang saya kunjungi.
Dari gerai HSBC. Berbaloi pergi ke gerai ini.Saya suka buku nota kecil.
Lampu LED daripada MCIS ZURICH
Klip nota kecil dari Standard Chartered
Bingkai gambar dari DELL. Abang gerai yang bagi bingkai ini jelita.
Selepas itu saya menonton wayang pula. Mujur tidak ramai orang di kaunter tiket walaupun pada hujung minggu ramai yang mengunjungi gedung Mid Valley. Saya menonton cerita inggeris yang bertajuk Step Up 3. Cerita ini ditayangkan dalam visual 3D. Saya sengaja memilih cerita ini kerana saya teringin menonton cerita 3D dan waktu tayangannya lebih awal semasa saya membeli tiket. Jadi selepas membeli tiket saya ke kaunter makanan untuk membeli makanan pula kerana saya tidak makan apa-apa dari pagi tadi. Sambil menunggu pintu pawagam dibuka saya menjamah sedikit makanan yang saya beli.
Pegawai yang menjaga pintu masuk pawagam membenarkan para penonton masuk selepas lampu yang menunjukkan ruang tayangan sudah siap sempurna untuk diduduki. Di pintu masuk ruang tayangan terdapat seorang pekerja pawagam yang ditugaskan memberi cermin mata 3D kepada setiap penonton. Saya begitu teruja untuk melihat bagaimana gambaran di skrin terbentuk apabila menyarung cermin mata 3D itu.
Saya amat berpuas hati kerana gambaran dan jalan cerita itu menarik dan memang berbaloi untuk ditonton. Terasa ingin menonton untuk kali kedua pula. Tetapi masa tidak mengizinkan kerana hari sudah petang. Saya perlu pulang ke rumah. Saya memang tidak suka berjalan-jalan pada waktu malam tanpa keluarga atau orang yang dikenali. Saya tiba di rumah pada pukul 6 petang. Jikalau saya bercerita tentang aktiviti di rumah, makin panjang pula entri ini. Jadi saya akhiri cerita saya dengan ucapan salam dan selamat malam.
Bukti saya menonton cerita 3D. Mahal juga ya~ hehe ^__^