Saturday, December 18, 2010

Muahahaha~

Yay!!!

Hari rabu hari tu sampai jugak novel-novel Hlovate yang aku order online.hehehe.sonoknyer~

Masa novel-novel tu sampai rumah aku takde kat rumah. aku,dila,wani dan siti gi mid valley tengok wayang. cite rapunzel, 3D lak tu.gempak~

novel tu mak yang terima dari abang posmen.memang betul-betul masa mak sampai rumah. abang posmen masa tu tengah tulis kad cinta perutusan untuk ambil bungkusan di pejabat pos. nasib baik mak sempat balik.

balik-balik rumah je tengok atas meja ada bungkusan yang tertulis nama aku. mula-mula pelik gak sebab selama ni aku tak pernah pulak menang mana-mana peraduan sampai aku boleh dapat hadiah. lama gak aku tenung bungkusan tu. tiba-tiba je aku baru teringat. aku ade order novel dari online...melompat aku terus sambar bungkusan tu pastu lari satu rumah. gaya macam dapat grand prize power root. terkujat semua orang.hehehe

sape tak seronok beb. dah la first time order online, novel Hlovate lak tu, sekali 3 beli aku beli. semuanya dibalut lawa-lawa. aku masa bukak pembalut dia punya la berhati-hati takut setem dan nama aku terkoyak. diorang sume suruh aku koyak je terus.huhuhu mana boleh camtu. sayang tau~

Hahaha.malam tu jugak aku balut novel-novel aku tu cantik-cantik. mintak kat siti pembalut buku teks dia yang lebih-lebih. buat kat tengah rumah bentang lebar-lebar kat situ. punya la aku sayang. giler tak giler aku ni.huhuhu...

lepas tu pe lagi...layan 5 Tahun 5 Bulan sampai ke pagi.ambik ko. dulu baca kat blog tak habis. sekarang ko habiskan apa yang ko tak habis lagi.bwahahaha...

Thursday, December 9, 2010

Love or Hate...Hlovate~

macam dah lama je tak baca novel. petang tadi bukak facebook ternampak fanpage Hlovate. pastu bukak web Jemari Seni. tetiba je rasa rindu nak baca nukilan Hlovate. ayat yang sempoi, macam otai pun ada, and giler-giler dia. tau apa aku buat lepas tu???

aku sign up jadi member Jemari Seni and aku terus beli buku Hlovate secara online. Ya. aku beli buku secara online. nasib baik cara pembayarannya tak susah mana. banyak pilihan. dan aku beli tiga buah buku sekaligus! muahahahaha!!!

rasa jeles pulak bila tengok gambar2 dari fan Hlovate yang dorang dah kumpul semua buku Hlovate. Siap balut cantek-cantek lak tu. hish, jeles giler la! disebabkan perasaan jeles yang membuak, aku menggadaikan wang aku untuk beli buku secara online dengan jumlah lebih dari satu. Padan muka aku.

sekarang kene tunggu delivery dia sampai ke rumah. hahaha. pasni boleh la layan novel balik. hobi aku masa muda-muda dulu. hehehe ^_^

Friday, December 3, 2010

Layan~

Pagi tadi hantar Dila balik UPM. Dia ada program sukarelawan untuk Asian Debate. Pusing-pusing cari kolej dia dah sampai pukul 1 lebih. Lepas hantar Dila, balik rumah pastu mak pergi kerja semula.

Pukul 6 petang, kitorang pergi Shah Alam pulak sebab Tiqa suruh hatar kertas X-ray dia. Dia sekarang sambung belajar di Poli Shah Alam. Masa jumpa dia, dah masuk waktu Maghrib. Jadi nak kena cari tempat solat dulu. Bincang punya bincang kitorang plan solat di surau Giant Kelana Jaya saja. Sebenarnya mak nak beli kasut untuk pergi ke Ipoh, jadi alang-alang keluar rumah kitorang terus pergi kesana.

Dalam plan nak beli kasut tuh, Wani dan Siti nak makan Pizza pulak. Aiseh, nak buat camne. Layan~
Tak tau apa jenis sos cili ni. Wani kata kawan dia pernah prank kan dia. Diorang letak satu dua titik sos ni dalam minuman dia. Pedas giler nak mati dia cakap.


Dah la takde logo HALAL. boleh percaya ke ni??


1 regular Super Supreme


1 regular Pepperoni Delight




dah habis separuh~ ittadakimasu!!! ^_^





Sunday, November 28, 2010

Bla Bla Bla~

Hari ni rasa seronok dapat lepak kat rumah sepanjang hari. Bangun lambat, potong rambut dan trim sikit, makan roti canai dengan telur, tengok astro sambil baring-baring kat depan tv, pastu sembang-sembang dengan Cu Ton yang datang singgah lepas ambil Syafiqah kat UM, pastu tidur lagi, pastu bangun makan maggi dan buka internet cari kerja.

Kalau nak list lagi, mau penat jari jemari hatiku nak taip semuanya.hehehe. Tappi yang pasti rasa seronok dapat bersama dengan keluarga tanpa ada seorang pun yang tiada di rumah (kecuali Tiqah yang pergi kenduri kawan dia kat Klang).

Tapi sepatutnya hari cuti macam ni la aku kene buat kerja aku yang tak habis-habis lagi tu. Apa jadi dengan akaun yang diamanahkan untuk aku buat tu? langsung aku tak buka hari ni. Macam mana nak siap kalau langsung tak sentuh fail-fail akaun tu.huhuhu.

Aku sebenarnya tak pandai nak buat akaun yang dah macam profesional tu. Mau kene aku yang langsung takde pengalaman dalam membuat full akaun and the presentation. Due date dah nak dekat dah tapi batang hidung akaun masih tak nampak. Habis la aku kene buang kerja la gamaknya.huhuhuhu...

Dah la tensen dengan game yang baru dapat. dah install tapi tak boleh nak main. tak support la, tak cukup program la, apa la, itu la, ini la. macam-macam la. argh! tensen! nak main game!

Esok dah masuk balik kerja. Nak kene hadap En.S****** tu lagi. adoyai, lagi tensen. kan bagus kalau dia tak payah masuk kerja. semua orang kerja tak tensen even busy sekalipun. ni tak busy pun boleh tensen kalau dia ada. huhuhuhu...

Apa-apa pun aku maybe tak lama kerja disana. Mak suruh cari juga kerja pejabt supaya dapat sambung belajar sambil bekerja. Kalau kerja pejabat, waktu dia sesuai dengan waktu sambilan belajar. Tak bertindan atau clash dengan kerja.huhuhuhu...

Friday, November 5, 2010

Bukan Ku Pinta~

Sekian lama saya mendiamkan diri dari menulis blog ini. Bukan kerana merajuk atau membawa diri tetapi saya agak sibuk sejak kebelakangan ini sebab saya sudah mula bekerja.

Ya, saya sudah pun bekerja. Saya berkerja di sebuah restoran yang berhampiran dengan rumah. Bekerja sebagai pelayan amat meletihkan tetapi saya bersyukur kerana masih mampu bekerja dengan tekanan yang agak membebankan bagi saya.

Kenapa saya memilih bekerja sebagai pelayan restoran?

Dari dulu lagi saya memang sukakan pekerjaan yang memerlukan dan menggunakan fizikal dan skil secara tenikal. Saya mengimpikan pekerjaan yang agak lasak dan menyihatkan tubuh badan. Sebab itu saya tidak kisah dengan pekerjaan saya sekarang walaupun gajinya mungkin rendah dari apa yang orang selalu impikan.

Saya tahu saya mengecewakan mak dan ayah dengan memilih pekerjaan ini tetapi saya ada matlamat sendiri untuk dicapai dengan bermula dari bawah. Saya seorang graduan dalam bidang akaun tetapi saya tidak mempunyai tempat dalam bidang ini. Berkali-kali saya mencuba jawatan kosong dalam bidang saya tetapi semuanya menghampakan. Saya hanya layak mendapat jawatan yang setaraf dengan pendidikan SPM dan sijil sahaja walaupun saya mempunyai diploma. Nampak sangat sijil diploma saya langsung tidak boleh diguna pakai. Saya kecewa sangat.

Namun, saya rasa ilmu akaun yang saya pelajari semasa di peringkat sekolah dan universiti masih boleh diguna pakai. Kenapa saya kata begitu? saya akan beritahu jawapannya.

Di restoran, walaupun saya berkerja sebagai pelayan, pengurus restoran dan pekerja-pekerja lain sudah mengetahui taraf pendidikan saya. Mereka tahu saya mempunyai ilmu akaun dan tuan empunya restoran juga tahu akannya. Tanpa saya duga, isteri tuan restoran yang menggelarkan dirinya 'auntie' meminta pertolongan saya untuk menguruskan kewangan restoran milik mereka.

Walaupun saya kurang mahir dalam ilmu akaun untuk dipraktikkan secara realiti, saya rasa saya mampu untuk melakukannya. Saya agak gementar apabila mereka meminta bantuan dari saya namun saya berkata kepada diri sendiri,'sampai bila aku ingin simpan semua ilmu aku yang aku pelajari dulu. inilah masanya aku pertingkatkan dan mendalami ilmu akaun melalui pengalaman yang aku akan tempuhi.'.

Namun, saya tidak boleh terlalu rasa gembira dengan bantuan yang mereka pinta kerana semuanya masih belum mendapat kata sepakat dan saya juga masih belum memulakan apa-apa pun yang berkaitan dengan kewangan restoran. Pengurus restoran masih kurang percaya dengan kebolehan dan kejujuran saya. Maklumlah, saya masih baru bekerja dengan mereka. Mana boleh terus beri kepercayaan kepada orang yang baru dikenali. Saya faham dengan situasi itu.

Apa-apa pun, saya akan cuba beri komitmen kepada pekerjaan saya tidak kira sebagai pelayan restoran atau menguruskan kewangan. Saya rasa bersalah dengan syarikat penerbitan yang saya pernah kunjungi dulu untuk menjadi editor sambilan. Saya tidak boleh memberi komitmen kepada mereka kerana saya masih tidak pandai menguruskan masa saya untuk melakukan dua pekerjaan.

Bagaimana saya hendak menguruskan masa dengan lebih baik?

Monday, October 11, 2010

Karnival dan 3D~

Hari ini saya ke karnival kerjaya di Mid Valley. Karnival ini diadakan dari hari Jumaat hingga hari Ahad. Sebenarnya semalam saya sudah pergi ke karnival tersebut tapi saya datang lagi hari ini sebab ada masalah yang timbul.

Semalam saya pergi ke karnival sebab saya melihat iklannya di suratkhabar tempatan. Masa saya melihat iklan itu adalah pada hari Jumaat jadi saya terlambat satu hari untuk ke karnival. Oleh itu saya bertekad untuk pergi juga ke karnival semalam.

Semalam juga saya bersiap seperti ingin pergi temuduga. Berbaju kurung dan berkasut tinggi. Adik saya menanya adakah saya larat berjalan dengan berkasut tinggi itu. Saya cuma mengangkat bahu. Saya tahu perjalanan saya jauh dan memenatkan bukan sahaja di karnival itu nanti malah dalam perjalanan ke sana juga akan memenatkan saya.

Sepanjang perjalanan ke karnival semalam saya rasa diri saya menjadi perhatian orang ramai. Saya rasa mereka memandang saya kerana saya memakai baju kurung keluar pada hari Sabtu. Bukankah kalau ingin bersiar-siar lebih selesa kalau berbaju T dan berseluar? Saya membuat muka tidak tahu. Tidakkah mereka tahu karnival kerjaya diadakan pada hujung minggu ini? Jadi saya rasa tidak hairan jika melihat saya atau orang lain yang memakai baju kurung dan kemeja?
Ah! Pedulikan saja pandangan mereka.

Sampai saja di Mid Valley saya melihat ramai orang yang berpusu-pusu ke destinasi masing-masing. Ada yang ingin membeli belah,ada yang ingin berjalan-jalan dengan orang yang tersayang,ada yang ingin menonton wayang dan ada juga yang mempunyai niat yang sama seperti saya, ingin pergi ke karnival kerjaya.

Disana saya mula melihat ada yang memakai baju kurung dan berkemeja bagi lelaki. Ada juga yang membawa dokumen-dokumen penting seperti saya. Jadi saya tidak perlu rasa segan lagi untuk berjalan di gedung itu.

Karnival kerjaya itu terletak di ruang pameran yang berada pada aras paling atas. Ramai yang ke karnival tersebut. Ada yang muda dan ada yang tua. Masing-masing ingin mencari peluang pekerjaan. Bukan sahaja peluang pekerjaan yang diberi malah peluang kepada yang ingin menyambung pelajaran juga ada.

Selepas mendaftar saya diberi pelekat pelawat. Saya memulakan langkah dari pintu depan ke bahagian pertama. Bahagian pertama terdiri dari gerai institusi-institusi dan universiti tempatan dan dari luar negara. Di bahagian ini, sesiapa yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi atau sebagainya mereka boleh berkunjung di mana-mana saja gerai yang terletak di situ.

Seterusnya saya ke bahagian kedua. Di bahagian inilah terletaknya gerai atau booth syarikat-syarikat yang menawarkan pekerjaan kepada pelawat. Saya memulakan langkah dan mencari syarikat dan jawatan yang bersesuaian dengan kelayakan saya.

Apa yang menjadi masalah saya pada hari semalam adalah saya tidak menyediakan atau lebih tepat lagi tidak mencetak resume saya untuk diberikan kepada syarikat-syarikat disana sebagai rujukan. Jadi semalam boleh dikatakan saya hanya melihat-lihat kawasan sekitar dan mengisi borang yang tidak memerlukan resume.

Selepas satu jam saya berlegar-legar tanpa tujuan di karnival itu, saya mengambil keputusan untuk keluar dari ruang pameran. Niat untuk menonton wayang terpaksa dibatalkan apabila melihat begitu ramai orang yang beratur membeli tiket.

Selepas rancangan untuk menonton wayang gagal, saya pergi ke Jusco untuk mencari buku nota yang comel tetapi tiada yang berkenan di hati. Saya pergi pula ke kedai buku MPH. Akhirnya saya menjumpai juga buku nota comel yang saya suka. Hendak lihat?

"My Planner" yang pertama sedang digunakan

Yang ini "My Planner" kedua belum digunakan

Yang ini pula buku nota kreatif yang dalamnya bergaris kotak kecil

Mengapa saya membeli buku nota ini? Sebabnya saya dari dahulu lagi ingin memiliki buku-buku comel yang boleh dibawa kemana sahaja. Saya sengaja memilih buku nota yang bertulis "My Planner" kerana saya ingin menulis aktiviti atau jadual yang akan saya lakukan. Contohnya seperti kursus yang dianjurkan oleh syarikat penerbitan yang saya sebutkan hari itu. Kursus yang penting itu dicatitkan di dalam buku "My Planner" mengikut hari dan waktu yang ditetapkan. Saya membeli dua buah buku yang sama sebab saya berpendapat tidak akan ada keluaran itu pada masa akan datang.

Sebuah lagi buku nota yang berwarna biru dan hijau pula saya beli kerana garisan kotak kecil didalamnya. Saya meminati bahasa Jepun dan Korea. Jadi saya membelinya kerana lebih senang untuk saya menulis huruf-huruf Jepun dan Korea didalam kotak kecil. Lagipun saya meminati warna buku nota tersebut. Menarik untuk dipandang,kan. Hehehe.

Walaupun semalam saya tidak mencapai matlamat saya untuk mencari kerja tetapi saya bertekad untuk pergi sekali lagi pada hari ini. Pada kali ini, saya sudah mencetak 15set resume untuk diberikan kepada syarikat-syarikat terpilih oleh saya.

Namun untuk ke karnival pada hari ini saya memakai baju santai dan selesa kerana saya bercadang untuk menghantar sahaja resume kepada syarikat-syarikat disana. Setelah selesai serta tiada lagi resume yang ingin diberikan saya ingin menonton wayang.

Tetapi saya mempunyai niat yang kurang baik apabila saya jejak kaki disana. Saya ingin mendapatkan hadiah percuma atau free gift dari gerai-gerai disana. Saya perlu mengisi borang atau berikan resume saya kepada mereka untuk mendapatkan hadiah percuma. Bukan semua gerai yang memberikan hadiah percuma jadi saya perlu intai atau survey dahulu sebelum saya meletakkan resume saya. Nampak sangat diri saya ini tidak berniat mencari kerja tetapi mencari hadiah percuma.

Namun saya kurang bernasib baik kerana saya hanya mendapat sedikit sahaja hadiah percuma dari gerai-gerai yang saya kunjungi.

Dari gerai HSBC. Berbaloi pergi ke gerai ini.Saya suka buku nota kecil.
Lampu LED daripada MCIS ZURICH
Klip nota kecil dari Standard Chartered
Bingkai gambar dari DELL. Abang gerai yang bagi bingkai ini jelita.

Selepas itu saya menonton wayang pula. Mujur tidak ramai orang di kaunter tiket walaupun pada hujung minggu ramai yang mengunjungi gedung Mid Valley. Saya menonton cerita inggeris yang bertajuk Step Up 3. Cerita ini ditayangkan dalam visual 3D. Saya sengaja memilih cerita ini kerana saya teringin menonton cerita 3D dan waktu tayangannya lebih awal semasa saya membeli tiket. Jadi selepas membeli tiket saya ke kaunter makanan untuk membeli makanan pula kerana saya tidak makan apa-apa dari pagi tadi. Sambil menunggu pintu pawagam dibuka saya menjamah sedikit makanan yang saya beli.

Pegawai yang menjaga pintu masuk pawagam membenarkan para penonton masuk selepas lampu yang menunjukkan ruang tayangan sudah siap sempurna untuk diduduki. Di pintu masuk ruang tayangan terdapat seorang pekerja pawagam yang ditugaskan memberi cermin mata 3D kepada setiap penonton. Saya begitu teruja untuk melihat bagaimana gambaran di skrin terbentuk apabila menyarung cermin mata 3D itu.

Saya amat berpuas hati kerana gambaran dan jalan cerita itu menarik dan memang berbaloi untuk ditonton. Terasa ingin menonton untuk kali kedua pula. Tetapi masa tidak mengizinkan kerana hari sudah petang. Saya perlu pulang ke rumah. Saya memang tidak suka berjalan-jalan pada waktu malam tanpa keluarga atau orang yang dikenali. Saya tiba di rumah pada pukul 6 petang. Jikalau saya bercerita tentang aktiviti di rumah, makin panjang pula entri ini. Jadi saya akhiri cerita saya dengan ucapan salam dan selamat malam.

Bukti saya menonton cerita 3D. Mahal juga ya~ hehe ^__^

Wednesday, October 6, 2010

Hari yang Menghampakan~ +__+

Semalam saya post entri mengenai debaran sebelum menempuhi hari temuduga iaitu hari ini. Bermula dari menerima panggilan temuduga hingga timbul konflik alamat dan juga rasa gugup untuk pergi temuduga.

Tetapi hari ini tidak seperti yang saya sangkakan. Harapan saya untuk bekerja dalam suasana yang tenang dan harmoni dicantas oleh persekitaran pejabat yang agak serabut dan fail-fail yang tidak tersusun. Saya tahu saya tidak boleh berkira sangat dalam hal ini tapi saya perlu pertimbangkan persekitaran kerja supaya keselamatan saya terjamin.

Pagi tadi saya bersiap awal supaya tidak terlewat untuk hadir temuduga. Namun rancangan untuk tiba pada waktunya hanya rancangan semata-mata. Saya memandu kereta emak dan terus ke destinasi. Walaupun saya tiba awal di bangunan dimana firma itu terletak, tetapi saya mempunyai masalah mencari tempat letak kereta. Di kawasan itu kebanyakan tempat letak kereta didaftarkan oleh pekerja-pekerja yang bekerja didalam bangunan itu. Jika saya cuba meletakkan kereta ditempat yang sudah didaftarkan, kereta saya akan digari oleh pegawai keselamatan disitu.

Saya mencari tempat letak kereta yang tidak berdaftar. Saya perlu ke tempat letak kereta di bawah bangunan. Papan tanda menunjukkan tempat letak kereta pelawat berada di Aras B1 dan B2. Saya memandu mencari tempat kosong. Akhirnya saya menjumpainya.

Jam menunjukkan pukul 10 tepat. Saya bergegas keluar dan mengunci kereta. Saya berlari ke arah lif yang berdekatan. Tanpa menoleh kiri kanan saya memasuki lif dan menekan butang untuk ke tingkat 6. Sampai saja di tingkat 6 saya mencari pejabat bernombor 609. Tiba-tiba saya terhenti. Saya melihat satu huruf yang terlekat pada dinding lobi lif. Ianya huruf C. Tidak!
Saya sepatutnya berada di blok A! Bukan blok C!

Saya menenangkan diri. Tiba-tiba ada seorang lelaki keluar dari salah satu pejabat disitu. Saya bertanya dimana terletaknya blok A yang saya cari. Lelaki itu memberikan petunjuk dan selepas itu saya berterima kasih kepadanya. Tanpa lengah lagi saya bergegas ke lif untuk turun ke tingkat bawah iaitu Aras G. Menurut lelaki tadi, saya perlu turun ke Aras G supaya saya boleh ke blok A.

Saya tahu saya sudah terlewat untuk temuduga. Saya melangkah laju keluar dari blok C. Mengikut fikiran saya, saya perlu mengelilingi bangunan besar itu. Saya terus berjalan tanpa mempedulikan orang yang berada disekeliling saya. Saya melangkah lebih laju namun kelibat blok A masih tidak kelihatan. Saya melalui blok D, kemudian blok B. Saya hairan kenapa saya masih tidak nampak papan tanda blok A. Mungkin saya keliru dengan kedudukan blok itu. Saya tidak faham susunan blok-blok disitu yang bermula dari apa dan kemudiannya apa.

Setelah 2 minit saya berjalan, akhirnya saya jumpa juga blok A. Saya melihat di sebuah papan notis yang melekat pada dinding blok itu. Saya mencari nama firma yang bakal menemuduga saya tetapi tiada. Hairan. Tiada nama?

Saya menaiki lif dan terus ke tingkat 6. Setibanya saya di tingkat 6, saya mencari pintu bernombor 609. Sepanjang pencarian, saya melihat keadaan pejabat-pajabat lain yang berada disana. Pintu kaca yang lutsinar membolehkan orang diluar pejabat melihat keadaan dan susun atur didalam pejabat. Reka bentuk yang kreatif memikat hati saya untuk melihat lebih lama suasana dalam pejabat. Tetapi saya hanya mampu melihat ruangan hadapan saja.

Saya meneruskan pencarian. Akhirnya saya melihat nombor 609 yang tertera pada sebuah pintu. Pintu itu kelihatan seperti pintu pejabat biasa. Pintu kayu itu tidak tertutup rapat. Saya mengambil nafas sedalam mungkin. Kemudian saya lepaskan perlahan-lahan. Saya menekan loceng yang berada di muka pintu. Loceng berbunyi. Sambil menanti jawapan, saya melihat kertas-kertas yang ditampal pada pintu. Kelihatan nama-nama syarikat yang saya tidak kenali. Tiba-tiba pintu dibuka.

Seorang wanita India muda terpacul di muka pintu. Dia bertanyakan perihal saya. Saya menerangkan tujuan saya ke situ. Kemudian dia mengajak saya masuk ke dalam pejabat. Apabila saya melangkah saja masuk kedalam pejabat itu, mata saya terus tertangkap kertas-kertas dan fail-fail yang berselerak di sebelah pintu. Wanita India itu mempersilakan saya duduk di sebuah sofa yang berada betul-betul di hadapan pintu masuk. Saya hanya mengangguk kepala berterima kasih tetapi mata saya masih melilau melihat keadaan pejabat yang berselerak itu.

Saya duduk di sofa dengan perlahan-lahan. Sambil melihat sekeliling, hati saya mula gelisah. Di tempat inikah saya akan bekerja? Beginikah rupanya sesebuah firma audit? Apa agaknya tugasan yang saya perlu buat jika saya dapat bekerja disini? Mata saya masih melilau dan kadang-kadang menjadi besar apabila melihat kertas yang bertimbun di atas meja. Saya tarik nafas sedalam-dalamnya dan hembus. Saya perlu tenang. Tiba-tiba datang seorang lelaki India dan mengajak saya untuk mengikutinya.

Pada jangkaan saya, beliau ini mungkin orang yang akan menemuduga saya. Namun fikiran saya terganggu sekali lagi apabila melihat lebih banyak kertas dan fail yang berselerak di dalam 2 buah bilik dan di meja di ruangan yang lebih besar. Lelaki India itu memanggil saya supaya masuk ke dalam bilik yang kedua tetapi kemudian beliau membatalkan niatnya dan masuk ke dalam bilik yang pertama.

Di dalam bilik itu terdapat sebuah meja yang dipenuhi kertas-kertas yang tidak tersusun dan bersebelahannya pula sebuah komputer jenis lama. Walaupun didalam bilik itu tedapat 2 buah kerusi namun ianya tidak boleh diduduki kerana kertas dan fail terletak di atasnya. Lelaki India itu mengarahkan wanita India tadi megambil sebuah kerusi yang berada diluar bilik itu. Wanita itu mengambil sebuah kerusi beroda yang bedekatan dengannya. Saya terkejut apabila dia cuba mengangkat kerusi beroda itu, tempat duduk kerusi itu tercabut dari kaki rodanya. Dia meminta maaf dan dengan selamba dia membetulkan semula kerusi itu.

Lelaki India itu mempersilakan saya duduk di kerusi tadi. Saya duduk dengan berhati-hati selepas melihat kejadian tadi. Rasa tidak selamat menghantui saya bermula dari kaki saya melangkah masuk ke dalam pejabat firma tersebut. Lelaki India itu memulakan sesi temuduga dengan bertanyakan dokumen-dokumen yang saya bawa. Sambil melihat sepintas lalu dokumen-dokumen saya, beliau bertanya soalan-soalan yang berkaitan dengan kelayakan serta kebolehan saya.

Entah kenapa hati saya meronta-ronta untuk menghabiskan sesi temuduga dengan cepat dan pulang ke rumah serta merta. Saya seperti resah berada dalam pejabat itu. Apa yang diperkatakan oleh lelaki India itu hanya singgah sebentar di dalam fikiran. Walaupun beliau menceritakan tentang tugasan-tugasan yang perlu saya lakukan di pejabat itu serta gaji yang ditawarkan, saya seperti tidak berminat langsung. Ketika itu, saya hanya mengangguk-angguk supaya saya kelihatan berminat dengan jawatan itu walhal langsung tidak. Saya cuba untuk mempercepatkan sesi temuduga itu tetapi saya takut saya di salah anggap untuk lari dari situ.

Akhirnya, beliau berkata kepada saya yang saya boleh pertimbangkan dahulu untuk menerima jawatan tersebut. Tetapi mestilah diberitahu secepat mungkin supaya jika saya tidak terima jawatan tersebut, beliau akan mencari calon lain untuk memenuhi kekosongan di sana. Selepas mengucapkan terima kasih, saya melangkah keluar dari pejabat itu. Perlahan-lahan saya melangkah ke arah lif. Hati saya berbisik, perlukah saya menerimanya? Saya menoleh ke arah pintu pejabat lutsinar yang saya lihat semasa saya mencari firma itu. Saya berdiri di depan pintu pejabat itu. Tiada orang didalamnya. Saya berdiri lama di situ. Alangkah seronoknya bekerja dalam suasana begini. Susun atur yang kemas dan reka bentuk yang cantik. Jika ada tekanan kerja pun masih boleh dikawal kerana persekitarannya boleh mengurangkan rasa tertekan dan stres.

Saya berlalu dari situ dan menuju ke lif. Sekali lagi saya memikirkan tentang jawatan tersebut apabila berada dalam lif. Pintu lif terbuka dan saya melangkah keluar menuju ke tempat letak kereta saya.

Setiba saya di rumah, emak pulang sebentar dari pejabatnya. Saya menceritakan dari awal hingga akhir tentang sesi temuduga saya dan juga keadaan pejabat firma tersebut. Emak memberitahu terpulang kepada saya untuk menerimanya atau tidak.

Berat hati saya untuk menerimanya. Walaupun saya kurang berpengalaman dalam selok belok pejabat, saya juga tahu bahawa persekitaran pejabat yang selamat dan teratur adalah salah satu faktor pekerja dapat memberikan komitmen yang tinggi dan berdedikasi serta membuat tugasan dengan efektif. Oleh itu, jauh di sudut hati saya menolak tawaran firma tersebut.

Namun yang menjadi konflik dalam diri saya, bagaimana saya ingin memberitahu lelaki india itu tentang penolakan saya? Apa alasan saya untuk diberikan kepada beliau? perlukah saya berterus terang? atau menolak begitu saja? Hingga saat ini saya masih tidak menjumpai jawapan. Saya perlukan nasihat seseorang mengenai hal ini. Apa yang perlu saya lakukan?

Tuesday, October 5, 2010

Hari Kejutan~ wOah!

Pagi tadi saya mendapat panggilan dari seorang lelaki. Mula-mulanya saya seperti malas untuk menjawabnya tapi saya paksa diri juga untuk menjawab. Memang patut untuk saya menjawab sebab saya sebenarnya menunggu panggilan dari mana-mana syarikat yang akan memanggil saya untuk ditemuduga. Ya, saya masih lagi menganggur dan saya perlukan satu pekerjaan bagi menampung kehidupan harian keluarga. Oleh itu, saya telah mendaftar diri di sebuah laman web yang menjadi agensi pekerjaan di talian internet.

Melalui laman web tersebut, saya mula mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan yang saya ada. Bermula dari hari Isnin lepas, saya mencari jawatan kosong yang diiklankan di internet.

Pada mulanya saya mencari di laman web Mudah.my. Laman itu sering digunakan orang untuk sebarang iklan tidak kira sama ada jawatan kosong yang diperlukan, rumah yang ingin disewa,dijual, atau dibeli dan juga iklan-iklan yang lain. Di laman web itu saya mencari jawatan kosong yang berdekatan dengan rumah saya supaya kos pengangkutan dapat dikurangkan. Namun sehingga hari ini, tiada sebarang berita dari syarikat yang saya mohon supaya datang untuk ditemuduga. Mungkin kelayakan saya tidak memenuhi keperluan yang diingini.

Namun saya tidak berputus asa untuk memohon lagi. Saya mencuba pula di laman web Jobstreet.com.my yang merupakan agensi pekerjaan melalui talian. Saya mengisi butir-butir diri di ruangan peribadi yang akan dijadikan rujukan untuk memohon jawatan-jawatan kosong. Apa yang saya perlu lakukan, saya perlu mencari jawatan kosong yang bersesuaian dengan kelayakan saya dan seterusnya hanya tekan butang 'Mohon' apabila saya berminat pada jawatan itu. Secara automatik laman web itu menghantar maklumat-maklumat saya kepada syarikat berkenaan dan mereka akan memaklum balas jika mereka menerima permohonan saya. Seterusnya saya akan dipanggil untuk ditemuduga di syarikat berkenaan.

Alhamdulillah, permohonan saya di laman web itu diterima maklum balas dari sebuah syarikat firma audit yang berdekatan dengan rumah saya. Ya, panggilan telefon pagi tadi adalah maklum balas dari firma itu. Salah seorang dari pekerja di firma itu menelefon saya untuk memaklumkan saya supaya datang temuduga di firma mereka. Saya rasa bersyukur apabila menerima panggilan itu. Setelah diberi alamat, saya terus mencari lebih maklumat mengenai firma audit tersebut di internet.

Saya mencari lokasi firma tersebut di 'Google Earth'. Alhamdulillah, kawasan firma tersebut masih dikawasan yang saya kenali tetapi saya tidak pernah menjejak kaki disana. Saya ingin melihat kawasan dan bangunan firma itu. Oleh itu, saya mengajak adik saya pergi melihat keadaan dan jalan ke kawasan firma tersebut.

Pada mulanya saya mengikut jalan ke Taman Megah Mas melalui U-turn yang pertama tetapi kami tidak menjumpai sebarang tanda bangunan yang diberitahu. Kami berpatah balik untuk mendapatkan U-turn yang kedua pula. Kali ini kami memasuki Jalan SS7/26. Jalan yang tertera di alamat firma itu. Kami menyusuri jalan itu dan akhirnya kami menemui bangunan firma tersebut.

Apa yang menjadi konflik ketika itu, saya dimaklumkan firma audit itu terletak di blok J. Saya dan adik saya mencari blok J hingga kami mengelilingi bangunan itu sebanyak dua kali. Namun apa yang kami lihat hanya empat blok sahaja di situ. Dari blok A hingga blok D. Puas kami memikirkan masalah itu. Adakah saya tersalah dengar alamat yang diberi? atau adakah firma itu terletak di bangunan lain yang saya tidak ketahui? Pening kami memikirkannya. Saya terpaksa menghentikan pencarian kerana saya perlu menghantar adik saya ke tempat kerjanya.

Malam menjelang, saya tanya kepada ayah tentang masalah saya. Saya mencari pula di 'Google Map'. Kali ini, saya akan memastikan bangunan firma itu sama seperti bangunan yang saya lihat petang tadi. Nama bangunan yang diberi didalam alamat itu hanya sebuah saja di kawasan tersebut. Tidak lain tidak bukan ianya bangunan yang sama. Saya tidak berpuas hati. Mengapa saya tidak dapat jumpa blok J?

Ayah mencadangkan supaya menulis nama penuh firma audit itu. Saya turutkan saja nasihat ayah. Akhirnya tertera nama firma itu dan ianya menunjukkan alamat yang sama yang diberi oleh pekerja firma tersebut. Tetapi hanya satu saja maklumat yang membuatkan saya tergelak sendiri. Firma tersebut terletak di blok A, bukannya blok J yang saya dengar dari pekerja firma itu. Ayah juga ketawa kerana kecuaian saya. Saya tersalah dengar alamat itu dan menyebabkan konflik yang tidak patut wujud hingga saya menjadi keliru.

Alhamdulillah, akhirnya kekeliruan yang sedikit itu dapat diselesaikan sebelum hari temuduga iaitu esok. Sekarang saya tidak perlu risau lagi. Saya hanya perlu membuat persiapan diri untuk menghadiri temuduga esok seperti baju, dokumen-dokumen penting dan keyakinan diri untuk menjawab soalan-soalan penemuduga.

Sebenarnya saya gementar juga untuk pergi temuduga. Ini adalah kali pertama saya menghadiri temuduga yang rasmi. Sebelum ini saya hanya menghadiri temuduga untuk bahagian khidmat pelanggan. Temuduga tersebut hanya dalam keadaan santai dan ianya tidak mengambil masa yang lama serta tidak memerlukan dokumen yang banyak. Namun temuduga itu juga adalah yang pertama kali saya hadiri. Oleh itu, saya tidak mempunyai pengalaman yang banyak dalam menghadiri temuduga.

Walaubagaimanapun, saya harus menghadapi hari esok supaya saya dapat menimba pengalaman yang baru untuk menempuh cabaran dunia pekerjaan sebenar. Jika saya gagal dalam temuduga esok, tidak mengapa kerana saya sudah memahami selok belok dunia pekerjaan dan cara menghadapi penemuduga. Hehehe. Saya berharap saya dapat bekerja dikawasan berdekatan rumah saya. Amin.

Saturday, October 2, 2010

Percubaan Kedua~ Huhuhu

Hari kedua selepas entri pertama keluar, saya masih lagi tidak menggunakan Bahasa Melayu Tinggi dalam perbualan harian. Mungkin akan mengambil masa untuk menjadikan kebiasaan. Mungkin juga mengambil lebih masa sebab sudah bertahun-tahun saya tidak menggunakannya. Namun saya cuba juga untuk memahirkan diri. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Tapi bagi saya, bukan hanya dengan menulis seperti begini untuk memahirkan diri, saya perlu mendalami ilmu yang berkaitan dengan Bahasa Melayu Tinggi seperti tatabahasa yang betul, struktuk kata yang tersusun dan penggunaan kata-kata yang tepat.

Bagaimana saya ingin memulakannya? Melalui penulisan? atau percakapan? pendengaran? yang mana satu perlu didahulukan? Saya memang buntu untuk memikirkan. Bagaikan sebongkah batu yang menghalang perjalanan saya. Apa yang perlu saya lakukan?

Pada saat saya menulis blog ini, saya masih terkial-kial untuk menyusun ayat. Bagaikan seorang murid yang sedang menjawab soalan dihadapan gurunya, saya berdebar-debar untuk menulis entri dalam Bahasa Melayu Tinggi. Takut!

Hari ini percubaan kedua saya dan saya sebenarnya kurang puas hati dengan persembahan saya. Tidak mengapa. Saya akan cuba lagi. Berusahalah! Wasalam.

Assalamualaikum~

Assalamualaikum,
Pembuka kata apabila kita ingin memulakan pembicaraan dengan insan lain. Salam diberi dengan rasa ikhlas dan dijawab dengan rasa syukur. Begitu juga apabila ingin mengenali orang yang tidak dikenali bagi mengeratkan silaturrahim sesama umat.

Eh? Mengapa tiba-tiba berbicara tentang salam ini?

Hahaha. Sebenarnya ini adalah kali pertama saya cuba untuk menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Maksud saya bukannya saya ini tidak pernah mempelajari Bahasa Melayu di bangku sekolah. Cuma saya jarang mempraktikkan Bahasa Melayu Tinggi dalam kehidupan harian saya dan juga komunikasi antara saya dan orang lain. Oleh itu, saya ingin menguasai bahasa ibunda saya ini dengan lebih mendalam supaya bahasa ini tidak ditelan dek zaman.

Semalam saya dan adik saya mengikuti kursus editor sambilan atau freelancer di PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd. Pertama kali saya mengikuti kursus yang menekankan Bahasa Melayu Tinggi dalam segala aspek tidak kira dalam tutur kata, penulisan dan cara hidup. Bagaikan baru pertama kali belajar tentang tatabahasa, struktur kata serta penggunaan ayat-ayat yang betul. Saya rasa seperti budak darjah satu yang baru mengenal huruf.

Dalam kursus itu, pegawai yang mengajar kami menerangkan satu persatu ciri-ciri sebuah buku dari muka surat depan hingga muka belakang. Berbagai istilah yang berkaitan dengan buku diterangkan dengan ringkas dan padat. Bukan saja pada istilah, proses menerbitkan buku juga diterangkan dari awal hingga akhir. Pada pendapat saya yang baru melangkah ke dunia penulisan dan penerbitan, bidang ini agak mencabar bukan saja pada penulisannya malah penerbitannya juga merumitkan. Tetapi bagi mereka yang sudah biasa dalam bidang ini mungkin tidak akan membebankan mereka. Mereka selesa dengan tekanan dan cabaran tanpa rasa beban di dada.

Sekarang saya ingin mencuba dan merasai bebanan mereka dengan menjadi editor sambilan atau freelancer di syarikat itu. Mungkin bebanan saya dan mereka berbeza, tapi saya akan cuba sedaya upaya untuk menjadi sebahagian dari mereka.

Matlamat saya sekarang ini, saya ingin membiasakan diri menggunakan Bahasa Melayu Tinggi dalam bidang penulisan dan penerbitan supaya saya dapat menulis sebuah buku yang mempunyai nilai bahasa ibunda yang tinggi.

Percubaan saya di dalam blog ini juga salah satu cara saya untuk menguasai Bahasa Melayu Tinggi. Saya berharap jika ada pihak yang boleh membetulkan kesalahan saya, menegur kesilapan saya dan menasihati saya, saya alu-alukan dengan hati terbuka.

Entri ini entri pertama dalam blog saya. Saya juga memiliki satu lagi blog tetapi ianya privasi. Blog ini saja yang boleh dibaca untuk umum. Oleh itu, entri di dalam blog ini hanya sedikit saja.
Saya menulis mengikut situasi jika saya rajin. Hehehe.

Akhir kata, walaupun susun ayat saya tidak teratur dan kurang difahami, saya berharap anda terhibur membaca entri saya. Sila komen jika perlu. Jangan segan jangan malu. Hehehe. Wasalam.