Friday, November 5, 2010

Bukan Ku Pinta~

Sekian lama saya mendiamkan diri dari menulis blog ini. Bukan kerana merajuk atau membawa diri tetapi saya agak sibuk sejak kebelakangan ini sebab saya sudah mula bekerja.

Ya, saya sudah pun bekerja. Saya berkerja di sebuah restoran yang berhampiran dengan rumah. Bekerja sebagai pelayan amat meletihkan tetapi saya bersyukur kerana masih mampu bekerja dengan tekanan yang agak membebankan bagi saya.

Kenapa saya memilih bekerja sebagai pelayan restoran?

Dari dulu lagi saya memang sukakan pekerjaan yang memerlukan dan menggunakan fizikal dan skil secara tenikal. Saya mengimpikan pekerjaan yang agak lasak dan menyihatkan tubuh badan. Sebab itu saya tidak kisah dengan pekerjaan saya sekarang walaupun gajinya mungkin rendah dari apa yang orang selalu impikan.

Saya tahu saya mengecewakan mak dan ayah dengan memilih pekerjaan ini tetapi saya ada matlamat sendiri untuk dicapai dengan bermula dari bawah. Saya seorang graduan dalam bidang akaun tetapi saya tidak mempunyai tempat dalam bidang ini. Berkali-kali saya mencuba jawatan kosong dalam bidang saya tetapi semuanya menghampakan. Saya hanya layak mendapat jawatan yang setaraf dengan pendidikan SPM dan sijil sahaja walaupun saya mempunyai diploma. Nampak sangat sijil diploma saya langsung tidak boleh diguna pakai. Saya kecewa sangat.

Namun, saya rasa ilmu akaun yang saya pelajari semasa di peringkat sekolah dan universiti masih boleh diguna pakai. Kenapa saya kata begitu? saya akan beritahu jawapannya.

Di restoran, walaupun saya berkerja sebagai pelayan, pengurus restoran dan pekerja-pekerja lain sudah mengetahui taraf pendidikan saya. Mereka tahu saya mempunyai ilmu akaun dan tuan empunya restoran juga tahu akannya. Tanpa saya duga, isteri tuan restoran yang menggelarkan dirinya 'auntie' meminta pertolongan saya untuk menguruskan kewangan restoran milik mereka.

Walaupun saya kurang mahir dalam ilmu akaun untuk dipraktikkan secara realiti, saya rasa saya mampu untuk melakukannya. Saya agak gementar apabila mereka meminta bantuan dari saya namun saya berkata kepada diri sendiri,'sampai bila aku ingin simpan semua ilmu aku yang aku pelajari dulu. inilah masanya aku pertingkatkan dan mendalami ilmu akaun melalui pengalaman yang aku akan tempuhi.'.

Namun, saya tidak boleh terlalu rasa gembira dengan bantuan yang mereka pinta kerana semuanya masih belum mendapat kata sepakat dan saya juga masih belum memulakan apa-apa pun yang berkaitan dengan kewangan restoran. Pengurus restoran masih kurang percaya dengan kebolehan dan kejujuran saya. Maklumlah, saya masih baru bekerja dengan mereka. Mana boleh terus beri kepercayaan kepada orang yang baru dikenali. Saya faham dengan situasi itu.

Apa-apa pun, saya akan cuba beri komitmen kepada pekerjaan saya tidak kira sebagai pelayan restoran atau menguruskan kewangan. Saya rasa bersalah dengan syarikat penerbitan yang saya pernah kunjungi dulu untuk menjadi editor sambilan. Saya tidak boleh memberi komitmen kepada mereka kerana saya masih tidak pandai menguruskan masa saya untuk melakukan dua pekerjaan.

Bagaimana saya hendak menguruskan masa dengan lebih baik?

No comments: